8 April 2014 – Pihak Pentadbiran SMK Arau telah mengadakan satu sesi taklimat mengenai pentaksiran bentuk baharu yang melibatkan Tingkatan 3(PT3) serta PBS Tingkatan 1 dan 2. Taklimat ini telah disampaikan oleh En. Ghazali Bin Ahmad (PK Pentadbiran) dan Pn. Fauziah bt. Abd. Rahman (PK Kokurikulum). Menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 dan akan dilaksanakan di peringkat sekolah sahaja. Bentuk penilaian di peringkat sekolah PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.
Mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja manakala mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes, Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang ketara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).