BENGKEL “ DIGITAL VIDEO MAKING”

25 Mei 2014 – Seramai 15 pelajar SMK Arau telah menyertai  Bengkel “ Digital Video Making” yang bertempat di UUM, Sintok.  Bengkel ini disertai beberapa institusi pendidikan di sekitar negeri Kedah dan Perlis. Dalam bengkel ini para peserta didedahkan mengedit  video secara atas talian menggunakan perisian sumber terbuka yang dikenali sebagai Binumi. Bertemakan “sharing green wisdom of elders” yang memberi fokus kepada perkongsian pengetahuan generasi dahulu menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri. terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu membongkar idea, petua, pengetahuan atau kemahiran generasi dahulukala menjaga kesihatan diri namun kisah yang ingin dikongsi itu perlu disampaikan dalam bentuk video pendek paling kreatif. Hadiah utama menanti lima pemenang tersebut adalah berupa wang tunai RM5,000, hak harta intelek (IP) serta peluang menerbitkan kisah masing-masing secara komersial.

PERTANDINGAN SAHIBA SEKOLAH-SEKOLAH PERINGKAT NEGERI PERLIS

6 Mei 2014 – Pertandingan Sahiba Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Peringkat Negeri Perlis telah diadakan di Dewan Dato Jaafar Hassan, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan. Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Utara dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perlis. Seramai tiga puluh orang peserta dari sekolah menengah telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan Arau telah menghantar seorang peserta iaitu adik Nur Najwa binti Saifuddin bagi membawa cabaran sekolah dalam pertandingan ini. Selepas berjaya mengharungi pusingan pertama dengan jayanya, langkah peserta sekolah kita diteruskan lagi di pusingan kedua. Namun begitu, malangnya langkah beliau telah terkandas di pusingan kedua.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada adik Nur Najwa atas kesungguhan beliau membawa cabaran sekolah walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Moga kekalahan ini dapat ditebus pada tahun hadapan. Sayonara 2014, berjumpa lagi di tahun 2015.  

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH BOLA BALING PERINGKAT MSSPs DAN BOLA JARING PERINGKAT SMK ARAU

Pada 17 hingga 21 Mac 2014 yang lalu, Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri Perlis Bawah 18 Tahun telah diadakan di Arena Futsal, Stadium Kangar, Perlis. Sekolah Menengah Kebangsaan Arau telah menghantar dua buah pasukan bagi kedua-dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Akhirnya, pasukan Bola Baling Perempuan Bawah 18 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Arau telah berjaya mendapat tempat ketiga. Sekalung tahniah dan syabas kepada semua pemain, pengurus pasukan dan jurulatih atas kejayaan yang digapai. Semoga rentak kecemerlangan ini berterusan untuk tahun-tahun yang akan datang.

 Pada 2 April 2014, Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenag-pemenang Kejohanan Bola Jaring Tertutup Sekolah Menengah Kebangsaan Arau telah diadakan di dataran perhimpunan. Pada kejohanan ini, rumah sukan Persona telah menggondol tempat pertama bagi kedua-dua kategori iaitu Kategori Bawah 15 Tahun dan Kategori Bawah 18 Tahun. Sekalung syabas dan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan para pemenang.