VERIFIKASI ANUGERAH PEMBESTARIAN SEKOLAH 2018 (APS 2018)

24 Sept – SMK Arau telah terpilih sebagai 5  sekolah terbaik yang tercalon dalam Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan. SMK Arau amat berbesar hati menerima kunjungan dari panel juri iaitu Pn. Fadzliaton binti Zainuddin, Ketua Unit Penyelarasan Dasar, Sektor Pengurusan Strategik, Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM dan Tn. Hj. Zakaria bin Mahzan,  Ketua Sektor Data dan Teknologi Maklumat,  Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti,  KPM. Panel juri menunjukkan maklum balas yang baik sepanjang sesi lawatan mereka ke beberapa tempat seperti Inovasi Canting Elektronik, Hub Robotik, Bilik Art Teraphy Counseling dan Pusat Sumber.

Anugerah Pembestarian Sekolah 2018 (APS 2018) dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Teknologi Pendidikan. APS 2018 ini memberi peluang kepada sekolah, guru, dan murid untuk mendapat pengiktrafan atas kecemerlangan dan kejayaan dalam pelaksanaan aktiviti Pembestarian Sekolah, selari dengan Anjakan 7 iaitu Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan Kualiti Pembelajaran di Malaysia serta menjadi output kepada pelbagai program Pembestarian Sekolah dalam pembangunan sumber manusia dan tenaga kerja yang berteraskan pengetahuan (k-economy).

LAWATAN BAS PINTAR KE SMK ARAU

18 – 19 September – Kunjungan bas PINTAR adalah suatu usaha untuk mempromosikan teknologi dan dunia tanpa sempadan terutama pada pelajar-pelajar luar Bandar. Pihak sekolah rasa berbesar hati dan rasa amat bertuah kerana terpilih dalam siri lawatan ini. Semua pelajar dapat merasai pengalaman menaiki bas pintar selama 2 hari mereka berada di sini.

PINTAR adalah singkatan kepada Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility adalah program sekolah angkat untuk meningkatkan kecemerlangan akademik di sekolah-sekolah luar bandar. Sejak dilancarkan, PINTAR telah melaksanakan banyak aktiviti untuk meningkatkan kualiti sekolah-sekolah di bawah program ini. Pelajar banyak diberi pendedahan mengenai aktiviti berasaskan STEM, terutamanya pembelajaran berasaskan robotik dan IOT.

Kem Teknologi Hijau Penggerak Digital Peringkat Negeri Perlis 2018

4 – 6 September 2018 –  BTPN Perlis, SMK Arau serta guru-guru penggerak digital Negeri Perlis  telah menganjurkan Kem Teknologi Hijau Penggerak digital buat kali pertama pada tahun ini. Kem ini diadakan di SMK Arau selama 3 hari 2 malam. Pengisian kem yang menggalakkan pelajar mengitar semula bahan serta penghasilan produk mesra alam diharap peserta-peserta kem dapat menjadi masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik serta menghayati teknologi hijau yang cuba diterapkan oleh guru-guru di sini. Selain daripada penghayatan mengenai Teknologi Hijau, peserta-peserta  kem juga didedahkan dengan modul penggerak digital. Modul ini telah dibangunkan oleh Malaysia Digital Economic Corporation dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Modul ini adalah bagi membantu sekolah membina modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran abad ke-21, bertanggunjawab dan berdaya tahan untuk mencapai matlamat Pembestarian Sekolah.

Modul-modul ini boleh menjadi panduan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti serta penjenamaan semula kelab-kelab berteraskan digital di sekolah di samping memperkukuhkan kemahiran digital murid-murid. Modul-modul yang disediakan adalah.

  1. Duta Penggerak Digital
  2. Penggerak Digital (Video dan Fotografi)
  3. Penggerak Digital (Komputer)
  4. Penggerak Digital (Robotik)